Abu Hurairah (ra) telah meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw)
bersabda:

"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum
pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada
seorang Islam yang sedang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah
daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar
(keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah
mempersiapkan dan menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian
berfirman kepadanya: 'Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang
taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar(di dunia) dan
akan mendatangimu.' Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan
supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka
lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir bulan Ramadhan
(orang-orang Islam yang berpuasa ini) akan diampunkan. " Maka
sahabat-sahabat Rasulullah (saw) pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah
itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah (saw): "Tidak, tetapi
selayaknyalah seorang yang beramal itu diberi balasan setelah dia
menyempurnakan tugasnya. "



Keutamaan Puasa Hari Isnin

Dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., katanya Rasulullah SAW ditanya orang
tentang puasa hari Isnin. Jawab beliau, “Hari Isnin itu hari kelahiranku,
dan hari Isnin itu Quran diturunkan kepadaku.”