Alhamdulillah, dua tiga hari lepas, saya telah dikurniakan kesempatan untuk bertandang ke pulau Langkawi setelah sekian lama tidak bertandang ke sana. Saya dan lagi 3 orang rakan bertolak dari jeti Kuala Kedah. Yunus dan Adeen yang keduanya dari negeri Johor dan Kelantan tiba sehari lebih awal telah menetap di rumah Izzat pada malam sebelumnya. Pagi itu, mereka telah datang ke rumah saya dan kami bertiga bertolak bersama-sama ke Pulau Langkawi.



Berempat. Muaz, Izzat, Yunus, dan Adeen. (dari Kiri)

Lebih kurang jam 11.30 kami tiba di sana dan setelah selesai urusan menyewa kereta, saya memandu menuju ke Pantai Chenang. Kami menetap di Langgura (bunyi macam Langgar, tempat asal saya) Baron Reason, tidak jauh dari Aseania Hotel Langkawi. Setelah puas mengganggu ketenteraman kakak penjaga kaunter tu makan tengah hari, kami pun memilih untuk menetap di bili 116. Harga untuk semalam sangat berpatutan dengan 2 katil queen size, penyaman udara, sebuah tv, bilik mandi dilengkapi tub dan lain-lain lagi. Cuma satu sahaja yang kurangnya iaitu walaupun terletak di tepi pantai, satu deretan chalet lain telah dibina baru-baru ini betul-betul di hadapan pintu kami dan ianya telah mengahalang pemandangan pantai dan angin laut masuk ke bilik. Petang itu, kami cuma melawat beberapa pusat kraftangan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Antara yang saya masih ingat ialah pusat mencanting batik dan juga sebuah kedai dengan nama something banana. Selain saudara Izzat yang memilih untuk membeli sebentuk cincin, kami bertiga cuma membeli cenderamata untuk diri sendiri sahaja.

Selepas puas melawat pusat kraftangan, kami terus menuju ke Pantai Tanjung Rhu. Cadangan awal untuk mandi laut hanya tinggal cadangan lantaran air surut petang. Sebaliknya, kami cuma menghabiskan masa berbual dengan penduduk tempatan yang datang berpesta mencari siput. Menurut salah seorang dari mereka, kebiasaanya bila air surut, ramai penduduk akan datang untuk mencari siput, menjala ikan dan aktivit-aktiviti lain yang boleh dilakukan di kawasan air surut kerana peluang untuk mencari siput hingga ke tengah laut cuma boleh didapati pada masa ini sahaja.
Walau bagaimanapun, saya telah menggunakan kesempatan ini untuk meredah air separas paha untuk ke beting pasir yang terletak kira-kira 15 meter dari pantai. Sebuah pengalaman yang saya kira cukup memuaskan kerana belum pernah saya lakukan sebelum ini. Tambahan pula, bukan selalu dapat melihat beting pasir tiba-tiba muncul di tengah-tengah laut yang selama ini dirasakan cukup dalam. ^^

Dalam pada kegairahan untuk bergembira, suatu tragedi telah berlaku apabila tiba-tiba saya sedari kunci kereta sewa telah hilang. Syukur apabila akhirnya kami dapat menjumpai kunci tersebut yang sebenarnya jatuh di kawasan saya menyalin baju di tepi pantai tersebut sebelum meredah air tadi. Lalai betul saya ni! Lebih kurang jam 6.30 petang, kami menuju ke kawasan Kuah. Sebelum sampai di Kuah, kami telah singgah sebentar di Idaman Suri untuk membeli belah. Ringkas dan cepat. Itulah yang saya dapat rumuskan apabila 4 orang anak muda lelaki membeli belah. haha. Usai solat maghrib, kami habiskan masa menjamu steamboat. hampir dua jam kami berada di kedai makan tersebut sebelum berjaya habiskan 95% daripada makanan yang dipesan. Lebihnya dibungkus. Namun sayang kerana keesokan harinya, semua makanan yang dibungkus telah basi. Bukan rezeki kami barangkali.

Pagi hari kedua di Langkawi kami habiskan dengan bermandi manda di pantai hingga jam 11 pagi. Kami turut menyewa dua buah kayak dan kami gunakan untuk berkayak hingga ke pulau berdekatan. Pulau yang kami darati begitu cantik dan unik. Bayangkan pantai yang hampir 70% dilitupi kulit-kulit siput. bukan seperti pantai-pantai biasa. Ada sedikit terumbu karang kecil di persisiran pantai tersebut dan airnya juga sangat jernih. Dalam kesusahan berkayak, pengalaman hampir 30 minit di pulau tersebut begitu mengubati kesakitan. Selesai berkayak, caanganya kami ingin mencuba banana boat, namun disebabkan bayaran yang agak mahal, kami hanya teruskan dengan acara mandi manda di laut sahaja. Dalam sedang kami menikmati keseronokan, seorang pelancong telah terjatuh dari pokok setelah payung sukan luncur udaranya tersangkut ketika mendarat. Syukur dia hanya mengalami kecederaan ringan barangkali. Tiada bloody scene. Mungkin patah atau retak saya kira. Setelah berbual dengan beberapa orang pengunjung dan penduduk di situ, kami dapati memang rekod kedai sewa sukan luncur udara itu kurang baik. Hampir setiap hari menurut mereka, ada sahaja kecelakaan yang berlaku. Samada serius ataupun tidak sahaja.


Kereta Kabel Langkawi

Petang itu setelah selesai solat jumaat, kami ke Kereta Kabel Langkawi dan Pantai Pasir terkorak hinggalah ke kawasan Teluk Datai sebelum pulang semula ke kawasan pantai chenang. Namun kami begitu bertuah kerana dapat menikmati sunset di Pantai Tengah. Subhanallah. Cantik sungguh...Malamnya pula kami cuma keluar untuk menikmati makan malam di kawasan sekitar Pantai Chenang. Restoran di belakang Sandy Beach Resort telah menjadi pilihan. Makanannya juga boleh tahan. Harganya pula saya kira berpatutan untuk para pelancong asing, tetapi tidak kepada penduduk tempatan :D


Pantai Pasir Tengkorak


Matahari terbenam di Pantai Pasir Tengah

Berjalan pulang di tepi pantai pada malam gelap ditemani bintang-bintang di langit begitu menakjubkan. Jarang berpeluang begini. Tambahan pula, saya telah terserempak dengan sepupu saya yang kebetulan datang bersama rakan-rakannya untuk turut menikmati kawasan malam di pantai barangkali. Terasa kecil dunia ini apabila berjumpa begitu tanpa dirancang. ^^


Hari terakhir di pulau langkawi ternyata tidak merugikan. Pakej Island hopping yang cuma 35 ringgit ternyata berbaloi. Menaiki bot laju ke Pulau Dayang Bunting, Pulau Beras Basah dan juga memberi makan kepada burung helang memang meyeronokkan. Tambahan pula, abang pembawa bot telah menunjukkan kebolehan luar biasa dalam memandu bot laju tersebut. Maneuver yang dilakukkannya begitu mengujakan dan mengecutkan perut. Apapun saya sangat menikmati pemanduannya. Pertama kali saya sampai di Pulau dayang bunting, tentunya saya tak lepaskan peluang untuk mandi di tasik yang terdapat di pulau tersebut. Sayangnya, cuma saya seorang yang mandi. Jadi saya berasa kurang selesa kerana sedar akan kelemahan diri ini yang tidak berapa pandai berenang. walaupun saya memilih untuk menyewa pelampung keselamatan untuk mandi, saya cuma bermain di gigi pelantar sahaja. Pengalaman di pulau beras basah lebih menarik saya kira. Hampir satu jam kami mandi di persisiran laut yang begitu mengujakan warnanya. Jernih dan terpelihara. Selesai semua aktiviti island hopping, kami bergegas pulang ke chalet untuk berkemas-kemas.


Di Pulau Beras Basah

Pemergian kami ke Jeti Kuah ditemani hujan lebat yang datangnya sejak pagi tadi. Bertuah kami apabila melakukan aktiviti
Island hopping, hujannya berselang seli dengan cuaca cerah, tidak seperti perjalanan pulang ke Jeti Kuah. Jam 3.30 petang, kami mengucapkan selamat tinggal kepada Pulau Langkawi yang telah meninggalkan seribu satu kenangan dalam diari hidup ini. Mungkin suatu hari nanti, saya akan kembali lagi menikmati percutian di pulau lagenda ini.

Nota:
1. Maaf jika entry di atas macam karangan kanak-kanak. lama sungguh tidak menulis dengan gaya bahasa melayu SPM.
2.Entry
ditulis dalam bahasa melayu sempena menyambut baik keputusan kerajaan mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa melayu. ^^