Entry khas ini sempena memperingati kematian kucing saya iaitu SHIRO.

Kucing ini merupakan haiwan peliharaan yang pertama di rumah saya setelah sekian lama (lebih 17 tahun) sekinya dikecualikan kucing-kucing liar dan ikan-ikan yang turut diletakkan dalam akuarium pada beberapa ketika.

Kucing aktif ini telah kami pungut dari rumah saudara kami di kaki gunung jerai. Cadangan asalnya untuk membuang kucing itu terpaksa diubah apabila ia telah menambat hati seisi keluarga sewaktu pertama kali menaiki kereta untuk pulang ke rumah. Kucing ini telah tidur dengan manjanya (melingkar) di kaki adik saya.

Kucing ini juga bijak dan tidak banyak menyusahkan kami sekeluarga. Beraknya di tandas, bahkan kencingnya juga begitu. Tak perlu diajar. Mungkin sebelum menjadi kucing terbiar, ianya pernah dipelihara oleh seseorang. Umur kucing Siam ini walau bagaimanapun baru cuma 4 bulan menurut doktor haiwan yang ditemui. Sebulan lepas dijaga, badannya berisi jauh lebih banyak dari masa awal-awal dipungut.

Evening nap. Hari terakhir sebelum pulang ke Dublin
Saya bukanlah penggemar kucing namun kali ini minat itu agak terserlah seginggakan sanggup berbelanja untuk membeli makanan kucing dan juga penyembur berperisa serai untuk mengelakkan kucing dari membuang air merata-rata. Saya sendiri seringkali membiarkan jari tangan digigit manja kucing ini. Bahkan sebelum ini, paling baik dengan kucing adalah dengan membelai-belai sahaja. Kali terakhir memelihara kucing umur saya mungkin hanya 7 atau 8 tahun. BOB namanya. Waktu itu saya masih tinggal di pondok bersama nenek. Selepas pindah ke rumah sendiri, saya tidak lagi memelihara kucing. Mama kurang minat untuk memelihara kucing kerana kucing selalunya berak merata-rata. Namun kucing yang seekor ini memang menjadi kesukaan seisi keluarga. Manja dan aktif.

Kucing ini cukup aktif. Suka berlari kesana kemari, menikus hampir segala benda yang bertali, pandai menggigit dan mencakar sayang dan macam-macam lagi. Paling digemari kucing ini adalah kaki. Pasti akan ada yang terkejut jaga dari tidur apabila kaki diterkam kucing ini. Setiap pagi, kucing ini akan menerkam kaki saya yang bergerak-gerak di dalam kelambu. Pantang saja lihat ada sesuatu yang bergerak dalam kelambu, pasti akan diterkamnya. Saya yang pada mulanya bukan penggemar kucing turut tertawan dengan gelagat dan aksi kucing ini. Seminggu sebelum terbang semula ke Ireland, saya bahkan telah meletakkan kucing ini dalam kelambu pada waktu malam walaupun pada sebelum-sebelum ini, biasanya akan diletakkan di dalam tandas supaya ia tidak berak merata-rata.



Menjadi kesukaan kucing ini iaitu untuk keluar bermain di luar apabila pintu hadapan dibuka. Pantang keluar, pasti akan dipanjat pokok mata kucing dan pokok rambutan di hadapan rumah. Namun yang menariknya, apabila tiada lagi orang lain di luar rumah, dengan sendirinya ia akan masuk semula tanpa perlu dipanggil. Terutama apabila ia lapar. Siapa sahaja yang menuju ke tempat ia biasanya makan, pasti akan dieekori manja.


Jangan ganggu saya tido!
Selepas beberapa ketika pulang ke Dublin, saya dikhabarkan bahawa kucing ini berkemungkinan telah menjadi mangsa langgar lari. Suatu pagi, ia telah keluar bermain di luar dan tidak lama kemudian terus masuk ke rumah sambil termengah-mengah. Hanya dua tiga hari selepas itu khabarnya muncul kesan lebam di bahagian perut Shiro. Semenjak kejadian itu juga, Shiro tidak lagi membuang air besar. Selepas dua kali berjumpa pakar haiwan, barulah disahkan bahawa ada berlaku kecederaan dalam perut Shiro. Menu makanan khabarnya ditukar dan lain-lain lagi bagi memastikan Shiro sihat semula.

Kali terakhir saya melihat Shiro adalah melalui Skype pada minggu lepas. Kucing ini yang suka bermain dengan laptop masih dapat mengecam saya melalui video call yang dilakukan. Terus bergerak ke laptop apabila dipanggil walaupun masih dalam kesakitan.

Hari ini, saya dikhabarkan bahawa Shiro telah mati. Katanya akibat salah makan ditambah dengan kecederaannya yang masih belum pulih sepenuhnya. Sedih sangat rasanya. Dua tiga malam sebelum ini, saya bermimpi bermain-main dengan Shiro lagi. Saya ingatkan tahun depan dapat bermanja-manja lagi dengan Shiro. Namun takdir menentuka, Shiro pergi buat selamanya. Terima kasih kepada Allah SWT kerana mengurniakan kami seekor kucing dan menambahkan keceriaan hidup keluarga kami walaupun buat seketika.  Kami redha kerana setiap yang bernyawa, pastinya akan mati. Semoga bersemadi dengan tenang Shiro.

RIP